CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Saturday, March 7, 2009

MENUKARKAN AYAT

MENUKARKAN AYAT AKTIF KEPADA AYAT PASIF

Perbezaan antara Ayat Aktif dengan Ayat Pasif
1. Ayat aktif ialah ayat yang mengandungi kata kerja trasitif yang mengutamakan subjek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan.
2. Ayat pasif ialah ayat yang mempunyai kata kerja yang mengutamakan objek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan.
3. Apabila ayat aktif ditukarkan kepada ayat pasif, objek dalam ayat aktif akan dipindahan ke bahagian hadapan untuk menduduki atau mengisi tempat subjek. Kata kerja transitif pula akan bertukar menjadi kata kerja pasif. Tempat objek akan diisi oleh subjek yang menjadi ungkapan "oleh + FN".
4. Dalam bahasa Malaysia, unsur ini menjadi pilihan, sama ada hendak dikekalkan atau digugurkan. Kedudukan keterangan pula kekal di tempat asal.
5. Rumus ayat pasif diri pertama dan keduaberbeza dengan rumus ayat pasif diri ketiga.
6. Jika dalam ayat pasif diri ketiga, Hanisah membaca menjadi dibaca oleh Hanisah, tetapi dalam ayat pasif diri pertama saya membaca menjadi saya baca. Aspek inilah yang membezakan ayat pasif diri ketiga dengan ayat pasif diri pertama atau ayat pasif diri kedua.

Friday, February 20, 2009

MENUKARKAN AYAT

MENUKARKAN AYAT CAKAP AJUK KEPADA AYAT CAKAP PINDAH

-Ayat cakap ajuk ialah ayat yang dikemukakan oleh pihak pertama. Ayat cakap ajuk juga dikenali sebagai ayat dialog.
-Ayat cakap pindah pula ialah ayat yang diujarkan oleh pihak ketiga. Biasanya, ayat cakap pindah ini berbentuk ayat penyata.

Saturday, February 14, 2009

POLA AYAT

Terdapat 4 jenis pola ayat. Antaranya termasuklah:
1. Ayat Berpola FN+FN Ayat berpola FN+FN ialah ayat yang subjeknya terdiri daripada frasa nama dan predikatnya juga frasa nama.
2. Ayat Berpola FN+FK Ayat berpola FN+FK ialah ayat yang subjeknya terdiri daripada frasa nama dan predikatnya terdiri daripada frasa kerja.
3. Ayat Berpola FN+FA Ayat berpola FN+FA ialah ayat yang subjeknya terdiri daripada frasa nama dan predikatnya terdiri daripada frasa adjektif.
4. Ayat Berpola FN+FSN Ayat berpola FN+FSN ialah ayat yang subjeknya terdiri daripada frasa nama dan prediketnya terdiri daripada frasa sendi nama.

Saturday, February 7, 2009

PANDUAN MENJAWAB SOALAN BINA AYAT

1.Bina ayat mudah yang mengandungi satu subjek dan satu predikat.
2.Boleh buat ayat dengan menggunakan cakap ajuk tetapi mesti mematuhi peraturan cakap ajuk (penggunaan tanda petik).
3.Buat ayat menggunakan teknik transformasi. (Tukar bentuk ayat aktif transitif kepada ayat pasif biasa dan ayat songsang).
4. Boleh buat ayat dengan memberi maksud perkataan.
Syarat : perkataan diuji mesti dimasukkan dalam ayat.
5.Boleh buat ayat menggunakan teknik perluasan. (Gunakan maklumat apa, siapa, mengapa, bila dan di mana).
5.Jika diminta membuat dua ayat daripada pasangan kata, maka pelajar perlu membuat ayat secara berasingan.

Sumber:http://bm2tatabahasa.blogspot.com/2009/01/panduan-menjawab-soalan-bina-ayat.html

PANDUAN BINA AYAT

1. Boleh bina ayat tunggal.
2. Boleh bina ayat majmuk.
3. Boleh bina ayat aktif.
4. Boleh bina ayat pasif.
5. Boleh bina ayat cakap ajuk tetapi perlu mematuhi peraturan tanda baca (tanda petik).

Pelajar dilarang :
1. Menambah atau menggugurkan imbuhan.
2. Jadikan perkataan diuji sebagai kata nama khas.
3. Jadikan perkataan diuji sebagai peribahasa.
4. Membina ayat yang tidak jelas/ tidak difahami maksud.

Sumber: http://bm2tatabahasa.blogspot.com/

Friday, January 30, 2009

PANTUN ENAM KERAT

Ular tedung jangan dipermudah,
Biasanya dapat membawa maut,
Jika tidak maut merana juga;
Berhujan panas aku tak endah,
Keris lembing aku tak takut,
Kehendak hati kuturut juga.

Kuda liar berkeliling kota,
Kota terbuat dari kayu,
Tempat berkawal lasykar Feringgi;
Kami mendengar khabar angin,
Bunga kembang sudah pun layu,
Gugur ke bumi tidak harum lagi.

Penakik pisau raut,
Ambil galah sebatang lintabung,
Seludung dijadikan nyiru;
Setitik dijadikan laut,
Sekepal dijadikan gunung,
Alam terbentang dijadikan guru.

Sultan Muda dari Lampung,
Memikul cangkul dengan bajak,
Singgah minum di lepau nasi;
Sudah sekah tempat bergantung,
Telah patah tempat berpijak,
Ke mana hendak digapai lagi.

Permatang Budi, 1991
Fajar Bakti Sdn. Bhd.

MAKSUD
Rangkap Pertama :Hujan, panas, atau ancaman keris dan lembing tidak dihirau-kan asalkan dapat memenuhi hajat di hati.

Rangkap Kedua :Bunga yang sudah layu dan gugur ke bumi akan hilang harumnya; dianggap tidak berguna lagi.

Rangkap Ketiga: Sesuatu yang sedikit dijadikan banyak; alam pula dijadikan sumber ilmu.

Rangkap Keempat:Tempat bergantung hidup telah tiada; tidak tahu ke mana hendak mengadu.

PERSOALAN
1. Berani menempuh apa-apa dugaan dan cabaran untuk mencapai cita-cita.
2. Orang yang telah rosak akhlaknya dianggap tidak berguna dan dipandang hina.
3. Kegigihan untuk mencapai kejayaan atau kesenangan dengan menjadikan alam sebagai sumber pengetahuan dan panduan hidup.
4. Kehilangan tempat bergantung mengakibatkan kesusahan dan keadaan tidak tentu arah.

BENTUK PANTUN
1. Pantun enam kerat ini terdiri daripada empat rangkap.
2. Bilangan baris dalam setiap rangkap adalah sama, iaitu enam baris serangkap.
3. Bilangan kata dalam setiap baris tidak sama, iaitu antara tiga hingga enam patah kata sebaris.
4. Bilangan suku kata dalam setiap baris pun tidak sama, iaitu antara lapan hingga sebelas suku kata.
5. Rima akhir pantun ialah abcabc.

GAYA BAHASA
1. Pemilihan katanya indah dan baris yang dibentuk adalah puitis.
Contohnya :penakik pisau rautsetitik dijadikan laut
2. Penggunaan bahasa kiasan.
Contohnya, Telah patah tempat berpijak.
Dalam contoh di atas, telah patah maksudnya telah hilang atau telah tiada, sementara tempat berpijak maksudnya tempat seseorang bergantung harapan.
3. Perlambangan.
Contohnya, keris lembing(pelbagai dugaan atau cabaran) (R1 B5), dan
Alam terbentang dijadikan guru
(Kejadian alam boleh dijadikan renungan dan memberi teladan dalam kehidupan) (R3 B6)
4. Sinkof. Contohnya, Berhujan berpanas aku tak endah (R1 B4) dan Keris lembing aku tak takut (R1 B5).
5. Imejan.
Contohnya, imej alam seperti bumi, gunung, laut, dan alam.
6. Unsur bunyi :(a) Asonansi (pengulangan bunyi vokal).
Contohnya, Jika tak maut merana juga;
Dalam contoh ini, terdapat pengulangan bunyi vokal a sebanyak enam kali.
(b) Aliterasi (pengulangan bunyi konsonan).
Contohnya, Telah patah tempat berpijak,
Dalam contoh ini, terdapat pengulangan bunyi konsonan t sebanyak empat kali.

NILAI MURNI
1. Berani.
Contohnya, berani menempuh segala dugaan untuk mencapai cita-cita.
2. Kerajinan / Gigih.
Kita perlu rajin dan berusaha dengan gigih untuk mencapai cita-cita.
3. Berdikari.
Contohnya, terpaksa berusaha sendiri setelah hilang tempat bergantung.
4.Kesederhanaan. Bersikap sederhana dalam tingkah laku dan jangan meninggi diri.
5.Rasional. Berfikiran matang dalam bertindak.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah rajin berusaha kerana bukan mudah untuk mencapai cita-cita. Banyak dugaan dan halangan yang perlu ditempuh dengan semangat yang tinggi.
2. Kita hendaklah bersikap sederhana kerana keindahan sesuatu hanya sementara sahaja. Oleh itu, janganlah meninggi diri dengan keistimewaan yang dimiliki kerana perkara tersebut tidak akan berkekalan.
3. Kita hendaklah peka dan merenung kejadian alam kerana akan memberi pelbagai pengajaran setelah dibuat perbandingan. Berfikirlah semasak-masaknya sebelum melakukan sesuatu.
4. Kita hendaklah bersikap rasional walaupun kehilangan orang yang dikasihi atau menjadi tempat bergantung hidup menjadikan kita kehilangan punca untuk terus menempuh kehidupan.Hadapilah segala dugaan dengan tabah kerana sepanjang kehidupan ini sememangnya dipenuhi cabaran.
5. Kita hendaklah berani menghadapi cabaran dalam usaha mencapai cita-cita.
6. Kita hendaklah berhati-hati sebelum terlambat.
7. Janganlah kita mudah berasa kecewa atau berputus asa dalam menghadapi dugaan hidup.

Sumber:http://antologikerusi.blogspot.com/